Jumaat, 3 Februari 2012

Place of interest (Tumpat)

Selain dari Pantai Sri Tujuh ada beberapa lagi tempat-tempat yang menarik yang boleh dikunjungi..


1.Istana Bukit Tanah


Istana Bukit Tanah merupakan salah satu istana yang terdapat di Negeri Kelantan dan merupakan satu-satunya istana yang terdapat di dalam Jajahan Tumpat. Difahamkan istana ini dibina sebelum zaman pemerintahan Jepun lagi iaitu sekitar tahun 1910 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Muhammad ke-4.

Pada amnya tapak istana ini agak rendah dan dipercayai telah ditimbun dengan tanah supaya kelihatan lebih tinggi. Pemandangkan kedudukan yang tinggi seolah-olah sebuah bukit, maka istana ini telah terkenal dengan jolokan Istana Bukit Tanah. Keluasan tapak istana ini hampir mencecah 3 ekar dan kawasannya dikelilingi oleh pokok-pokok besar yang mana ada di antara pokok-pokok tersebut telah mencecah usia lebih dari 30 tahun.

Dahulunya Istana Bukit Tanah terkenal dengan kewujudan sebatang pokok iaitu Pokok Kelumpang. Pokok ini dikatakan tersangat tinggi sehingga boleh dilihat dari pesisiran pantai Laut Cina Selatan. Walau bagaimanapun, pokok ini telah tumbang dimakan usia.

2.MASJID KAMPUNG LAUT

Merupakan sebuah masjid yang unik dan menarik dari segi pembinaannya. Keistimewaan masjid ini adalah struktur binaannya diperbuat daripada kayu dan tidak menggunakan paku dimana ianya hanya dipasak. Bangunannya masih lagi kekal dan utuh untuk digunakan sebagai tempat beribadat. Kini Masjid ini terletak di Nilam Puri dimana ianya telah dipindahkan pada tahun 1965 dari tapak asal kerana didapati tapak asalnya telah berada di dalam Sungai Kelantan.

Masjid Kampung Laut merupakan sebuah masjid tertua yang masih wujud di Kelantan dan di antara yang tertua di Nusantara. Masjid ini dikatakan dibina dalam abad yang ke-18 oleh pengembang Islam yang berulang-alik antara Champa dan Jawa dengan bantuan penduduk tempatan. Tapak asal masjid ini terletak di Kampung Laut, Tumpat di pinggir Sungai Kelantan.

Sehingga 1966, masjid ini digunakan sebagai tempat beribadat yang utama oleh penduduk di sekitar Kampung Laut. Akan tetapi masjid ini rosak akibat banjir yang melanda Negeri Kelantan pada penghujung tahun 1966 dan awal tahun 1967. Kerajaan Negeri telah menutup masjid tersebut dan membina sebuah masjid yang baru di tempat yang lebih selamat. Pada November 1967, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia di Muzium Negara telah merombak bangunan Masjid Kampung Laut dan membina semula di tapak barunya di Nilam Puri mengikut bentuk yang asalnya serta menggunakan semua bahan yang lama seberapa yang boleh. Walau bagaimanapun, hanya sebahagian ruang utama masjid sahaja yang dapat didirikan semula.

Menyedari keadaan ini satu jawatankuasa pengelola masjid telah dibentuk untuk membaikpulih, mengelola, menjaga dan memelihara masjid lama itu supaya rekabentuk dan binaan asalnya dapat dikekalkan.

3.Makam Tok Janggut





Tok Janggut @ Haji Mat Hassan bin Munas dilahirkan pada tahun 1853, seorang pahlawan melayu yang menentang campurtangan British di Negeri Kelantan pada tahun 1909. Pertempuran pada 24 Mei 1915, Tok Janggut terbunuh dan jenazah beliau dibawa dan dikebumikan berhampiran Sungai Kelantan yang kini dikenali sebagai Kampung Tok Janggut, Pasir Pekan.

Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan pemimpin tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala RM 1.00 seorang setahun, pokok buah-buahan 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.

Kekacauan timbul di Jeram, Pasir Puteh pada 29 April 1915 dikenali dengan "musuh Tok Janggut". Engku Besar tidak lagi berkuasa kerana diambil alih oleh Pegawai Jajahan yang dilantik oleh British. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Encik Latiff, Pegawai Jajahan yang baru adalah "orang luar" menjalankan tugasnya dengan tegas khususnya di dalam hal kutipan cukai.

Engku Besar membuat perundingan dengan Haji Mat Hassan bin Munas (Tok Janggut), Haji Said, Che Sahak dan Penghulu Adam, dimana keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Kerajaan British dicapai. Tok Janggut bersama-sama rakan-rakannya mendapat sokongan sebilangan besar rakyat, dan ini membimbangkan Encik Latiff. Pada 29 April 1915, satu pasukan polis diketuai oleh Sarjan Che Wan bertolak ke Kampung Tok Akib dan menemui Tok janggut. Pergaduhan kecil berlaku di mana Sarjan Che Wan telah terbunuh. Arahan menangkap Tok Janggut dibuat oleh Encik Latiff. Tok Janggut kemudiannya menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri ke Kota Bharu.

Perintah menangkap Tok Janggut dikeluarkan. Bantuan tentera dari Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu tiba, dan pada 6 Mei 1915 berlepas ke Pasir Puteh. Serangan ke atas Tok Janggut dilancarkan pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh. Di Kampung Pupuh lah Tok Janggut terbunuh dan mayatnya dibawa ke Kota Bharu. Setelah digantung beberapa hari, di Padang Bank (Padang Merdeka) mayatnya dikebumikan di Pasir Pekan.

Rakan-rakan yang nak tahu lebih lanjut jangan khuatir,boleh layari di laman web MDT Tumpat okeh..

1 ulasan:

Unknown berkata...

copy n paste ni